Ramai tertanya-tanya, mengapa mereka masih tidak mencapai kecemerlangan walaupun telah mentelaah mata pelajaran berjam-jam sehari?

BERDOA dan bersyukurlah dengan hasil yang diterima dalam peperiksaan kerana ia melambangkan usaha yang telah dilakukan. – Gambar hiasan

MENJADI seorang yang cemerlang adalah idaman setiap pelajar. Namun tidak ramai menyedari bahawa untuk menjadi seorang yang cemerlang, usaha bukan hanya tertumpu kepada mentelaah buku semata-mata, tetapi juga melibatkan rangkaian beberapa usaha lain.
Mungkin ramai tertanya-tanya, mengapa mereka masih tidak mencapai kecemerlangan walaupun telah mentelaah mata pelajaran berjam-jam sehari.
Pernahkah mereka terfikir bahawa usaha itu harus diselangi dengan doa, memperbaiki diri sebagai insan dan sebagainya.
Kosmo! menyenaraikan beberapa tip membentuk diri menjadi seorang pelajar yang cemerlang sekali gus membentuk diri menjadi insan yang disenangi ramai.
Sentiasa berfikiran positif
Berfikiran positif membantu pelajar membina imej yang meyakinkan, seterusnya membawa perubahan yang baik terhadap pelajaran dan kendiri. Berfikiran positif juga menjadikan pelajar sentiasa ceria dan seronok belajar. Ini boleh membantu proses pembelajaran. Namun, jangan terlebih seronok, nanti orang tersalah anggap pula. Orang yang berfikiran negatif pula mempunyai 10 kali ganda peluang mendapat sakit berbanding dengan mereka yang berfikiran positif.
Nyatakan matlamat
Sentiasa sasarkan satu matlamat sebelum melakukan sesuatu kerana mereka yang mempunyai matlamat lebih mudah mencapai kejayaan yang mereka ingini. Matlamat yang jelas dan hebat dapat membakar semangat. Pastikan matlamat yang diletakkan itu adalah satu matlamat yang membina. Namun, matlamat tanpa usaha tidak membawa erti apa-apa.
Menjaga kesihatan fizikal dan mental
Menjaga kesihatan adalah paling utama supaya pelajar berada dalam kondisi yang terbaik untuk menimba ilmu. Apabila badan dan minda berada dalam keadaan terbaik, pembelajaran akan mudah diterima. Sering bersenam dan berfikiran positif. Elakkan stres yang melampau dan sesekali cuba melakukan aktiviti riadah supaya diri dapat mencapai ketenangan yang ideal. Terlalu berfikir mengenai pembelajaran dan kejayaan juga boleh mengakibatkan minda pelajar menjadi sangat stres. Cuba elakkannya dengan mencari jalan terbaik untuk mengulang kaji pelajaran.
Menjaga pemakanan
Aspek pemakanan juga harus dititik beratkan kerana pemakanan yang seimbang penting bagi menjana pemikiran yang cerdas dan memori yang tajam.
Pelajar boleh mengingati sehingga 90 peratus bahan yang dipelajari apabila diaplikasikan ketika menjawab soalan berkaitan dengan bahan yang dibaca.

KAEDAH belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. – Gambar hiasan

Cara belajar yang baik
Belajar dengan baik tidak semestinya mentelaah dari pagi sehingga malam. Pelajar harus tahu bagaimana untuk belajar mengikut kesesuaian diri. Ada yang suka belajar secara berkumpulan dan ada yang suka bersendirian. Cari kesesuaian diri anda. Cari tempat tenang untuk belajar. Ramai pelajar suka mentelaah sambil mendengar muzik. Ia adalah perkara yang patut dielakkan kerana belajar sambil mendengar muzik mengurangkan tumpuan dan menghakis keberkatan ilmu. Kaedah belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. Tetapi cuma 20 peratus pelajar yang belajar menggunakan peta minda.
Bergaul dengan positif
Apabila seseorang mempunyai ramai kawan, maka dia akan mempunyai pandangan yang luas kerana boleh bertukar-tukar pendapat berbanding dengan mereka yang lebih suka menyendiri. Kawan boleh menegur setiap kesalahan kita kerana kita tidak dapat melihat kekurangan diri. Namun, pelajar juga harus bijak memilih kawan. Peribadi dan prestasi kita sering dipengaruhi oleh kawan-kawan. Justeru, carilah kawan yang positif dan cemerlang.
Bersyukur
Pelajar harus bersyukur dengan setiap hasil yang diterima dalam peperiksaan kerana ia melambangkan usaha yang telah dilakukan. Jangan salahkan orang lain di atas kegagalan yang kita alami. Jangan juga dengki dengan kejayaan orang lain, sebaliknya ringankan mulut untuk bertanya rahsia mereka. Dekatkan diri dengan tuhan tidak kira apa agama sekali pun. Pelajar juga harus sedia memberi bantuan kepada rakan-rakan lain dan jangan kedekut ilmu. Perbincangan satu kumpulan mampu mendapat keputusan yang terbaik.
Bersedia untuk gagal
Kegagalan adalah lumrah kehidupan. Bersedia untuk mengalaminya kerana disebalik kejayaan, pasti ada kegagalan. Jika kejayaan yang dikecapi itu adalah hasil usaha daripada kegagalan, ia akan lebih bermakna dan diingati. Belajar daripada kesilapan dan cuba cari jalan penyelesaian terbaik untuk memperbaiki kegagalan itu agar ia menjadi kejayaan.

PELAJAR yang ramai kawan akan mempunyai pandangan yang lebih luas dalam pelajaran. – Gambar hiasan

Hargai pendidik
Pendidik adalah tonggak utama kepada kejayaan seorang pelajar. Cuba tunjukkan penghargaan kepada mereka, bukan sahaja apabila anda mendapat kejayaan yang diingini tetapi juga apabila tiba hari-hari tertentu seperti Hari Guru atau hari lahir mereka. Doa pendidik sentiasa dimakbulkan tuhan. Jangan lupa juga kepada ibu bapa kita kerana anak yang derhaka tidak akan mencapai kejayaan.
Usaha yang seimbang
Akhir sekali adalah usaha. Kejayaan tidak datang begitu sahaja tanpa usaha. Namun ia harus diseimbangkan. Jika hanya berusaha mempraktikkan segala tip di atas tanpa mentelaah buku, kejayaan tidak akan dapat dikecapi. Namun, jika hanya mengadap buku tanpa usaha-usaha di atas, kejayaan juga jauh daripada genggaman.